Sayup-sayup suara aneh dan teriakan meminta tolong yang menyentuh deria pendengaran penduduk tempatan membuatkan mereka bingung.
Apakah sebenarnya rahsia yang tersembunyi di sebalik hospital sakit jiwa Gonjiam itu sebelum ini?
Cerita Penduduk Tempatan
Menurut legenda tempatan, hospital ini terpaksa ditutup pada tahun 1990-an apabila seorang demi seorang meninggal dunia secara misteri.
Misteri itu tidak terhenti di situ apabila penduduk sekitar mendakwa sering terlihat kelibat manusia di perkarangan hospital itu seolah-olah tempat itu masih wujud walaupun sudah dipenuhi lalang.
Benarkah Hospital Itu Berhantu?
Hakikat sebenarnya, Gonjiam terpaksa ditutup kerana kemerosotan ekonomi dan masalah sistem perparitan. Apabila masalah semakin menimbun, pemiliknya berpindah ke luar negara tanpa meninggalkan sedikit pun dokumen tentang tanah dan bangunan di atasnya.
Kini yang tinggal hanyalah bangunan terbiar, tercemar dan saki baki isi peninggalan tuannya seperti barang peribadi pesakit dan perabot.
Biasalah, apabila bangunan tinggal, pasti ada ‘penghuni’ lain yang berpindah masuk, bukan?
Hospital Sakit Jiwa Gonjiam dinobatkan sebagai salah sebuah tempat paling berhantu di Korea Selatan manakala CNN mendakwa kawasan itu sebagai tempat paling menakutkan di dunia.
Namun begitu, ia tetap tidak mematahkan semangat orang ramai seperti pelancong, kru penggambaran dan pemburu hantu untuk mencari bukti, rangka manusia untuk mencari kisah di sebaliknya atau sebarang aktiviti paranormal di tempat itu.
Latar Filem Seram Korea
Tempat ini pernah menjadi latar filem seram Korea bertajuk ‘Gonjiam: The Haunted Asylum’ mengenai hospital sakit jiwa yang berhantu.
Filem ini mengisahkan Ha-Jun, seorang YouTuber yang mengetuai sekumpulan muda-mudi ke rumah sakit jiwa Gonjiam serta bilik 402 yang misteri dan tidak sepatutnya dibuka semenjak hospital itu ditutup.
Asyik sekali mereka memasang kamera, tanpa menyedari diri mereka sebenarnya yang diperhatikan dari balik kegelapan bangunan tersebut…
Sumber: CNN Travel, Korea Herald, Atlas Obscura, Lobak Merah, mStar