Drama terbaru di Viu, “Namib”, menjanjikan kisah penuh emosi dan konflik yang akan membawa penonton menyelami perjalanan hidup yang penuh cabaran.
Namib membawa genre “slice of Life” ini dibintangi oleh beberapa pelakon dan pelakon terkenal, seperti Ryeoun, Go Hyun Jung dan Yoon Sang Hyun.
“Namib” mengisahkan pertemuan semula antara Kang Soo Hyun (Go Hyun Jung), bekas CEO agensi hiburan Pandora Entertainment, dan bekas pelatihnya, Yoo Jin Woo (Ryeoun), yang kini berdepan kehidupan sukar selepas dibuang agensinya. Dengan setiap watak berusaha mencapai matlamat hidup masing-masing, Namib menggambarkan kisah perjuangan, pengorbanan, dan dilema yang meruntun jiwa.
Yoo Jin Woo, seorang pelatih berbakat yang pernah bernaung di bawah Pandora Entertainment, memiliki kemahiran muzik luar biasa. Namun, kebolehannya gagal membawanya ke pentas debut. Selepas bertahun-tahun berusaha, dia akhirnya dibuang oleh syarikat, meninggalkan dirinya tanpa arah tuju.
Beban emosi terus bertambah, Yoo Jin Woo terpaksa menanggung hutang 200 juta won (kira-kira RM650,000) yang dipinjam oleh ibu bapanya daripada agensinya dahulu. Dengan masa depannya yang kelam dan tekanan kewangan yang menghimpit, dia terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup di jalanan.
Dalam keputusasaan, satu-satunya orang yang diingatnya ialah Chris (Lee Ki Taek), seorang bekas pelatih yang pernah menjalani latihan bersamanya. Chris kini ialah pengurus kelab malam bernama Muse yang bergabung dengan CEO baharu Pandora Entertainment, Jang Hyun Chul (Lee Seung Joon).
Statusnya sebagai pengurus kelab malam bermakna Chris sering terlibat dalam pelbagai jenayah kerana gelagat tetamu di tempat yang diurusnya. Walaupun suatu ketika dahulu dianggap sebagai bintang masa depan dengan potensi luar biasa, Chris telah meninggalkan dunia hiburan selepas satu insiden misteri yang menghancurkan impiannya. Kini, dia memilih kehidupan di sisi gelap, jauh dari dunia yang pernah diimpikannya.
Chris berpura-pura memberi perhatian dengan niat untuk mengambil kesempatan ke atas Yoo Jin Woo. Chris menawarkan Yoo Jin Woo tempat untuk berlindung. Tindakan ini menjadi penyelamat sementara bagi Jin Woo, tetapi membawa komplikasi baru dalam hidupnya.
Ketegangan bertambah apabila Yoo Jin Woo menerima tawaran untuk kembali ke dunia hiburan daripada bekas CEOnya, Kang Soo Hyun. Tawaran ini membangkitkan impiannya untuk bersinar semula, tetapi juga membuatkan dia terperangkap dalam dilema yang mendalam.
Di satu sisi, Chris yang membantunya ketika dia berada di titik terendah, dan di sisi lain, Kang Soo Hyun yang menawarkan peluang untuk bangkit kembali. Walaupun Jin Woo menyimpan keinginan untuk kembali ke dunia hiburan, keberanian untuk mencuba semula masih jauh dari jangkauan.
Apakah keputusan yang akan diambil oleh Yoo Jin Woo? Adakah dia akan memilih jalan baru bersama Chris tanpa dia sedari yang dia telah dipergunakan, atau kembali ke dunia yang pernah menghancurkan dirinya?
“Namib” telah tersedia untuk distrim di Viu mula 23 Disember 2024. Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Namib, kerana drama ini pastinya menarik perhatian penonton dengan naratif yang emosional, watak yang kompleks, dan mesej yang menyentuh perasaan.