Model dan personaliti TV Amerika, Chrissy Teigen dan suaminya, pemuzik John Legend, dikecam kerana mengadakan parti bertemakan ‘Squid Game’ bersama rakan selebriti dan tetamu VIP lain di rumah mereka hujung minggu lalu.
Pasangan tersebut mengupah perancang parti untuk menghias rumah agam mereka seperti dalam set K-drama hit itu.
Chrissy Teigen selaku hos berpakaian seperti patung permainan ‘Red Light, Green Light’ manakala John Legend bergaya macam salah seorang watak VIP, lelaki kaya yang bertaruh dalam permainan maut.
Para tetamu berpakaian seperti pemain sama seperti dalam Squid Game iaitu baju sukan hijau dengan tertera nombor.
Manakala pelayan yang menghidangkan makanan dan minuman pula jadi macam pengawal bertopeng dalam siri thriller itu.
Dalam ‘Squid Game’, para pemain bersaing untuk dapatkan ₩45.6 bilion KRW (kira-kira $38.6 juta USD). Manakala di pesta Chrissy Teigen dan John Legend, para tetamu bersaing untuk penerbangan ke Napa Valley, California dan makan malam untuk dua orang di French Laundry, sebuah restoran eksklusif.
Menerusi kapsyen Instagram yang dimuat naik selepas parti itu, Chrissy Teigen mengucapkan terima kasih kepada perancang parti untuk “malam epik itu” dan berkata “impiannya menjadi kenyataan untuk melihat rakan-rakannya fight to death.”
Bagaimanapun netizen tidak puas hati dengan tema parti tersebut yang disifatkan tidak sesuai kerana Squid Game menceritakan tentang golongan kayangan yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan orang lain. Orang dirantai hutang menyertai permainan maut dengan peluang menang yang tipis untuk cari harapan buat diri dan keluarga.
Berikut komen-komen peminat di post Instagram Chrissy Teigen:
“Saya rasa anda tak faham mesej cerita itu.”
“Tak peka sungguh anda sebagai jutawan pergi ajak member-member kaya lain untuk tiru permainan dalam cerita ‘Squid Game’ tentang keganasan kapitalisme ni. (Emoji ketawa tiga biji)”
“Kenapa orang kaya asyik terlepas pandang sekeliling?”
“Orang kaya berpakaian seperti pemain Squid Game, sumpah tone-deaf.”
Sumber: [1]