Bintang “The Record Of Youth”, Park So-dam disahkan menghidap kanser tiroid papillary ketika sedang menjalani penggambaran Phantom pada tahun 2021.
Park So-dam, yang pernah terkenal di peringkat antarabangsa dengan filem yang memenangi Anugerah Oscar bertajuk PARASITE. Sejak kemenangan itu, dia menerima banyak tawaran dan peluang untuk berlakon drama dan filem, tetapi dia terpaksa melupakan semuanya apabila mendapati dirinya menghidap kanser tiroid papillary.
Pada akhir Disember 2022, dia telah mendedahkan tentang diagnosis kansernya dan bagaimana dia terus bekerja sehingga 2021 walaupun kesihatannya semakin merosot.
So-dam memberitahu yang kesihatannya menjadi semakin teruk ketika dia sedang dalam penggambaran filem Phantom. Dia kemudiannya disahkan menghidap kanser tiroid papillary.
Seperti yang dipetik Soompi, dia berkata, “Ketika penggambaran, saya tidak tahu badan saya sakit, cuma tekak saya dah mula terasa sakit ketika itu. Saya hanya fikir mungkin ia disebabkan oleh keletihan dan juga akibat habuk dan debu di set. Itu adalah kali pertama saya berasa takut untuk pergi ke set.”
”Saya rasa badan saya menghantar isyarat kepada saya, tetapi saya hanya menganggapnya sebagai isu mental. Saya berasa sangat bersalah kepada pengarah dan senior saya. Selepas penggambaran, saya juga menangis kerana berasa bersalah.”
Dia turut berkongsi yang dia mempunyai sepuluh ketulan di lehernya. Ia telah merebak ke nodus limfa dan mampu membahayakan nyawanya. Katanya juga jika kanser itu merebak sehingga ke paru-parunya, dia perlu menjalani kemoterapi.
Dia juga kehilangan suaranya dan menghabiskan sebahagian besar masanya berbaring di atas katil selepas pembedahan.
Bercakap tentang status kesihatannya sekarang, So-dam mendedahkan yang dia telah pulih, walaupun kesihatannya telah menjadi lebih baik, dia membuat bioritma dengan melakukan Pilates 5-6 kali seminggu untuk mengembalikan staminanya semula seperti dahulu.
Dia sedar dia mungkin belum dapat sembuh sepenuhnya, tahap hormonnya juga tidak menentu, jadi dia perlu makan ubat selama kira-kira 5 tahun. Dia juga turut berkongsi yang dia telah mendapat rawatan terbaik daripada doktornya.
Selepas menerima rawatan, So-dam telah mengambil cuti panjang dan mengembara ke seluruh Eropah sendiri selama 34 hari. Dia juga berkata bahawa dia mula mengenali makna ‘rehat yang baik’ pada usia 32 tahun.
“Saya pergi ke Barcelona, Switzerland, United Kingdom dan Iceland, dan di setiap tempat disambut oleh peminat yang datang kepada saya dan memberitahu saya bahawa mereka telah menonton filem dan drama saya,” kata Park. Pujian dan sapaan daripada peminat membuatkan saya sedar bahawa saya “tidak sengaja membimbangkan ramai orang,” menurut Park lagi.
Park merancang untuk mengeluarkan vlog pengembaraanya di seluruh Eropah di media sosial atau YouTube tidak lama lagi, katanya semasa temu bual.
Dalam proses penyembuhan, Park So-dam rajin mengemas kini media sosialnya untuk memastikan peminatnya sentiasa mengetahui perkembangan kesihatannya dan mengelakkan peminatnya daripada bimbang.
Sebelumnya, penggambaran filem “Phantom” telah habis pada Mei 2021 tetapi tarikh tayangannya terpaksa ditunda kerana Covid.
Phantom ialah sebuah filem aksi thriler perisik Korea Selatan berdurasi 133 minit adalah berdasarkan novel Mai Jia 2007, Feng Sheng. Ia diarahkan oleh Lee Hae-young dan filem ini telah dikeluarkan di pawagan Korea pada 18 Januari 2023 dan berjaya mendapat kutipan kasar sebanyak AS$5,199,476 dan ia merupakan filem Korea kedua dengan kutipan tertinggi pada 2023.