Pelakon lelaki tampan yang membintangi Extraordinary Attorney Woo iaitu Kang Tae Oh, yang menyertai latihan ketenteraan wajib Korea Selatan pada September 2022 yang lalu telah menamatkan latihannya pada hari Selasa baru-baru ini. Seperti yang dilaporkan oleh Soompi, Tae-oh berkongsi perasaannya dengan kata-kata ‘saya memperbaiki tabiat buruk saya dan hanya memperoleh perkara yang baik’ (dari latihan tentera).
Menurut laporan itu, Kang Tae Oh telah menamatkan perkhidmatan tenteranya sebagai askar bertugas yang aktif selepas menyertai tentera dalam tempoh satu tahun enam bulan.
Kang Tae Oh tamat latihan tentera
Kang Tae Oh berkongsi, “Saya mendaftarkan diri untuk latihan tentera selepas menerima sambutan hangat dan perhatian yang hebat daripada semua orang selepas saya membintangi Extraordinary Attorney Woo. Saya mengharungi penghujung usia 20-an dan permulaan 30-an dalam tentera, dan ia adalah masa yang bermakna di mana saya membetulkan tabiat buruk dan hanya memperoleh perkara yang baik. Saya akan berusaha untuk berlakon dengan lebih baik dalam projek-projek yang bagus pada masa hadapan, jadi saya mengharapkan sokongan semua.”
Perjalanan Kang Tae Oh dalam tentera
Semasa perkhidmatan tenteranya, Tae-oh membaca memorandum pada upacara peringatan 2023 pada upacara Hyeonchungil (Hari Peringatan di Korea Selatan). Pelakon ini juga berkhidmat sebagai penolong pengajar untuk Pusat Latihan Rekrut.
Projek seterusnya dalam dunia lakonan
Menjelang tamat latihan, pihak agensi pelakon tersebut iaitu Man of Creation berkongsi bahawa pelakon itu sedang berbincang untuk membintangi drama Korea terbaru yang akan datang iaitu Potato Research Institute. Drama ini adalah siri komedi romantik yang berlatarbelakangkan institut penyelidikan kentang bahagian luar bandar. Kang Tae-oh sedang berbincang untuk watak protagonis.
Luahan Kang Tae Oh berkenaan latihan tentera
Pada tahun 2022, sebelum pendaftarannya dalam latihan tentera, dia menulis luahan perasaan di Instagram, “Terima kasih atas sokongan dan kasih sayang anda yang melimpah. Saya akan kembali dengan semangat baru. Jumpa lagi.” Dalam gambar yang dikongsikan, dia bergambar dengan hoodie hijau dan seluar jeans sambil menutup potongan rambutnya.
Tae-oh dilaporkan akan menghidupkan semula wataknya dalam musim 2 drama Extraordinary Attorney Woo pada tahun ini. Lee Sang Baek dari syarikat penerbitan A Story memberitahu Soompi dalam satu kenyataan, “Terima kasih atas sokongan para peminat, kami akan menghasilkan musim ke-2 untuk drama Extraordinary Attorney Woo. Matlamat utama adalah untuk menyiarkan musim ke-2 ini pada tahun 2024. Bukan mudah untuk menyelaraskan jadual para pelakon dan pasukan produksi, jadi kami perlu melalui banyak perbincangan.”