Setiap bintang idol K-Pop tentunya pernah merasai tempoh masa sebagai trainee (pelatih), menjadi trainee membuatkan mereka perlu menjalani latihan khas secara intensif supaya mereka bersedia untuk muncul dan tampil dalam kancah industri hiburan.
Beberapa idol kesukaan anda mungkin ada yang bertuah kerana berjaya membuat debut dengan lebih cepat. Namun, ada juga segelintir diantaranya yang menjadi trainee paling lama di agensinya.
Sebut saja nama Seulgi ‘Red Velvet’, Jennie ‘BLACKPINK’, dan Jihyo ‘TWICE’, pasti peminat K-pop di seluruh dunia mengenali mereka. Mereka disebut-sebut sebagai trainee terlama yang mengambil masa lebih dari 5 tahun untuk menjalani sesi latihan.
Walaupun begitu, mereka terbukti menjadi idol K-Pop yang sangat berjaya di agensi-agensi ternama. Berbicara mengenai trainee yang mengambil masa paling lama untuk melengkapkan latihan, pasti ada diantara mereka yang belum layak debut pada waktu ditetapkan.
Rupa-rupanya perkara ini menjadi kenyataan yang menyedihkan dalam industri hiburan di Korea Selatan. Terdapat trainee yang sudah bertahun mengabdikan diri, tetapi langsung tidak diberi peluang untuk membuat kemunculan.
Baru-baru ini, seorang jurulatih idol terkenal telah berkongsi maklumat tentang perjalanan trainee yang mahu menjadi bintang idol K-pop kepada orang ramai. Dia turut menyatakan hanya 10 peratus idol yang berjaya membuat debut pada tahun dia menjadi jurulatih.
Baca Lagi: Akhirnya Jisoo BLACKPINK Muncul Dalam Debut Solo
Tidak hanya itu, dia juga menghuraikan bagaimana nasib para trainee yang belum berjaya membuat debut. Mengubah minda bahawa mereka adalah “produk konsumer”.
Jurulatih idol yang beralih angin menjadi Youtuber iaitu In Jin Woong, berkongsi pengalamannya kepada News 1 Entertainment TV tentang bagaimana proses latihan para idol dan sisi buruknya terhadap trainee muda. Secara terus terang, dia mengatakan proses pembentukan idol ini sebenarnya mengubah para trainee menjadi “produk konsumer”.
“Setiap agensi mungkin berbeza, tetapi biasanya tempoh latihan mengambil masa sehingga 7 hingga 8 tahun. Setelah trainee berjaya masuk kedalam kumpulan debut, mereka memerlukan masa kira-kira 1 hingga 2 tahun lagi sebelum mereka benar-benar boleh muncul dan membuat debut,” katanya lagi.
Ramai yang tidak berjaya menjadi trainee
In Jin Woong turut mendedahkan keadaan ini sama seperti konsep piramid. Ramai anak muda yang tidak berjaya melayakkan diri sebagai trainee di sesebuah agensi.
“Ketika agensi besar membuat pengumuman untuk ujibakat, lebih dari 10 ribu video (ujibakat) yang mereka terima. Setelah menganalisa dan menilai pelbagai bakat dan kelayakan setiap pemohon, mereka yang bertuah akan dipilih untuk menjadi trainee. Mereka akan melalui proses menjadi ‘produk konsumer’ pada dasarnya seperti mengubah pola pemikiran mereka,” ujarnya.
Hidup sebagai trainee tidak bebas
Pengorbanan yang paling besar bagi para trainee adalah mereka perlu menjual kebebasan mereka untuk sebuah kerjaya dan populariti. Trainee muda ini biasanya tidak boleh pergi ke pasaraya terdekat, kecuali bagi mereka yang telah mempunyai pengalaman dan menjalani tempoh latihan selama beberapa tahun.
Kawalan terlalu ketat dan mereka bahkan terpaksa meminta tolong daripada pengurus mereka untuk membelikan barangan yang mereka perlukan. Setiap trainee muda ini diberitahu dan dimaklumkan bahawa gaya hidup seperti itulah yang perlu mereka lalui apabila mereka menjadi artis dan kenyataannya begitulah kebanyakan artis di Korea Selatan menjalani hidup mereka.
“Mereka kehilangan kebebasan hidup hariannya. Jadi mereka sudah dilatih untuk terbiasa hidup seperti itu,” kata In Jin Woong.
Kehidupan mereka terlalu padat dengan latihan sejak kecil lagi
Rata-rata anak-anak muda yang mencuba untuk masuk ke sesebuah agensi berusia antara 8 hingga 10 tahun. Kemudian, mereka akan dilatih selama tujuh tahun sehingga berjaya debut pada usia 15 ataupun 16 tahun.
Bukan sahaja perlu bekerja keras pada usia kanak-kanak, mereka juga turut terbiasa melihat trainee yang lebih dewasa melakukan rutin diet, menyanyi dan menari seakan-akan begitulah hidup yang mereka perlu lalui, sama seperti idol K-Pop yang mereka dambakan.
“Bagi mereka, itu adalah perkara yang patut dilakukan. Memang sangat sukar untuk menyesuaikan diri, tetapi lama-kelamaan mereka akan terbiasa dan boleh meneruskan rutin seperti itu,” kata In Jin Woong.
Bagaimanakah nasib trainee yang belum berjaya debut?
Tentunya ramai trainee yang belum berjaya untuk debut. Mereka yang hidupnya mengikut arahan sahaja, rupa-rupanya tidak berakhir seperti yang mereka mahukan. Sayangnya, ramai diantara mereka yang belum mempunyai pengetahuan asas ataupun dapat bergaul dengan orang lain kerana jadual latihan yang sangat padat. Mereka hanya hidup dengan mengikut apa yang disuruh oleh agensi dan jurulatih.
Ramai diantara mereka yang tidak berjaya membuat debut beralih arah kepada kerjaya lain. Terdapat antara mereka yang menjadi guru tarian dan membuka studio tarian sendiri. Walaupun trainee ini mempunyai bakat tetapi kebanyakan mereka tidak sesuai untuk membuat kemunculan (debut) kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki.
Trainee tidak akan debut jika tidak sesuai dengan konsep
Contohnya seorang trainee yang memiliki kemampuan menyanyi dan menari yang sempurna, memiliki perwatakan dan gaya seperti Jennie ‘BLACKPINK’ atau dancer NO:ZE ‘WayB’, tetapi jika agensi sedang dalam perancangan untuk membina kumpulan baru dengan konsep tersendiri
Contohnya kumpulan gadis baik-baik yang kelihatan ayu dan sopan, makan calon tersebut tidak sesuai untuk menyertai kumpulan tersebut. Akhirnya, trainee tersebut tidak berjaya debut walaupun memiliki kemampuan terbaik.
In Jin Woong mengatakan, “Ini bukan bermakna setiap agensi membentuk kumpulan setiap tahun. Para trainee perlu menunggu untuk turutan berikutnya yang mengambil masa 4-5 tahun lamanya. Maangnya apabila sudah tiba waktunya, trainee ini sudah dikategorikan terlalu tua pula (untuk debut).”
Ramai anak muda pada waktu ini hanya melihat sisi terang dan gemilang daripada industri K-Pop sehingga tidak menyedari tentang kenyataan pahit iaitu setiap idol perlu mencurahkan keringat dan darah untuk membuktikan dirinya layak untuk membuat debut. Jika anda mempunyai impian untuk menjadi seorang bintang idol K-Pop, maka anda perlu mempertimbangkan kehidupan perit yang perlu anda jalani. Sanggupkah?
Baca Juga: Debut Hollywood Jennie BLACKPINK Indah Khabar Dari Rupa