Pada mulanya, penulis dan pelukis webtoon ‘A Business Proposal’ berasa gusar berbanding teruja semasa pelancaran cerita di peringkat global. Hal ini kerana terdapat perbezaan latar belakang budaya dalam kalangan potensi audiens.
“Rupanya semua kebimbangan saya itu tak ada apa pun. Saya tak pernah bayangkan webtoon saya dibaca oleh pembaca di seluruh dunia dalam pelbagai bahasa.” kata Narak, penulis dan pelukis webtoon dalam satu temu bual bersama Korea Herald.
Diadaptasi ke drama TV,” A Business Proposal” kini mencuri hati penonton tempatan dan antarabangsa dengan jalan ceritanya yang komedi, romantis dan dramatik.
“A Business Proposal” merupakan karya webtoon dari Korea Selatan yang diadaptasi daripada sebuah web novel berjudul “The Office Blind Date” yang ditulis oleh penulis HaeHwa.
Ia mengisahkan tentang seorang pekerja pejabat bernama Shin Ha-ri yang menyamar jadi kawan baiknya semasa bertemu janji dengan CEO di tempat kerjanya, Kang Tae-mu.
Apabila ditanya tentang webtoon yang baru-baru ini diadaptasi jadi siri drama SBS, Narak tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.
“Walaupun saya tidak terlibat dalam pemilihan pelakon, saya sungguh terkejut dengan visual dan lakonan para pelakonnya.” katanya.
Illustrator itu juga terkejut melihat pelakon Seor In-a yang memainkan peranan rakan baik Ha-ri, Jin Yeong-seo amat dekat dengan karakter yang dibayangkannya.
“Walaupun saya tiada rujukan spesifik sewaktu mereka watak, pelakon Seor In-a sememangnya watak webtoon hidup.” ujarnya lagi.
Keseluruhannya, dia berpuas hati dengan persembahan siri drama tersebut dan nampak usaha tim produksi menggabungkan aspek komik karyanya dengan drama.
“Bukan semua episod dan setting dalam webtoon dipaparkan dalam drama, namun bagi saya ini cerita yang baru dan segar. Saya turut seronok menontonnya sebagai seorang penonton.”
Versi drama turut ada beberapa perubahan seperti kerja Ha-ri, hubungannya dengan datuk Tae-mu dan jenayah kamera rahsia.
Narak berkata yang menjadi pelukis webtoon adalah impiannya sejak sekian lama kerana seronok melukis sesuatu yang dia mahu.
Selepas mendengar komen sesetengah orang yang dapat melupakan kesakitan dan kerunsingan mereka apabila membaca karyanya, Narak tersedar yang kerjanya begitu bermakna dan nekad untuk terus membahagiakan pembacanya.
Meskipun karya webtoonnya, “A Business Proposal” telah tamat pada 2020, Narak berharap dapat kembali dengan webtoon genre baru.