Home Nature Penumpang Misteri Ganggu Pemandu Teksi Di Jepun Selepas Tsunami

Penumpang Misteri Ganggu Pemandu Teksi Di Jepun Selepas Tsunami

0

11 Mac 2011

Mungkin itulah tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh penduduk di kawasan timur laut Jepun yang dihentam tsunami, susulan gempa bumi paling kuat pernah direkodkan menggoncang tempat itu.

Rumah, bangunan dan seluruh pekan habis binasa disapu ombak besar itu. Menurut Agensi Polis Kebangsaan Jepun, kira-kira lebih 15,800 orang terkorban dalam bencana alam itu sementara ratusan ribu lain kehilangan tempat tinggal serta sekurang-kurangnya 2,500 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Ishinomaki, sebuah bandar pesisir pantai dan pusat perikanan komersial merupakan antara tempat yang terjejas teruk setelah dipukul ombak setinggi 10 meter. Salah satu penempatan penduduk yang turut musnah adalah Minamihama.

Secara keseluruhannya, sekitar 29,000 kediaman penduduk di Ishinomaki hancur, lebih 3,000 mangsa terbunuh termasuk sebuah sekolah rendah yang kehilangan 70% pelajarnya.

Beberapa tahun selepas kejadian pilu itu, perlahan-lahan pekan itu membangun semula. Sekolah, kedai-kedai, kafe dan perpustakaan dibuka seperti sedia kala. Namun beberapa penduduk melaporkan beberapa kejadian yang menyeramkan.

Misteri Penumpang Teksi

Pada tahun 2016, seorang pelajar universiti jurusan sosiologi bernama Yuka Kudo menemu bual lebih 100 orang pemandu teksi di Ishinomaki untuk kajian tesisnya. Kudo bertanya adakah mereka mengalami apa-apa kejadian aneh sejak peristiwa tsunami itu.

Meskipun ramai calon responden enggan bekerjasama, terdapat sekurang-kurangnya tujuh orang yang sedia buka cerita sambil mengingati beberapa pelanggan aneh yang naik teksi mereka.

Menurut kajian Kudo, insiden ini berlaku beberapa bulan selepas tsunami. Salah satunya melibatkan seorang penumpang wanita berbaju kot tebal (walaupun masa tu cuaca panas dan cerah) sebuah menahan teksi.

“Boleh bawa saya ke Minamihama?” tanya wanita itu.

“Tak ada apa dah di Minamihama itu.” balas pemandu teksi tersebut merujuk kepada kawasan yang musnah itu.

Selepas senyap buat seketika, wanita berkenaan bertanya lagi “Adakah saya sebenarnya dah mati?”

Terus pemandu teksi itu berpaling ke arahnya namun dia sudah ghaib entah ke mana.

Pada waktu lain, seorang pemuda nak pergi ke gunung Hiyoriyama tetapi bila sampai tengok-tengok dia dah hilang.

Selain itu, seorang penumpang minta dibawa ke alamat sebuah rumah. Tetapi setibanya di sana, pemandu teksi terkejut bila melihat kediaman itu sudah rebah ke bumi, jadi rata dibaham bencana.

“Betul ke tempat ni?” tanya drebar tersebut. Namun penumpang itu juga lesap.

Pelik Tapi Benar?

Menurut portal Mamamia, Kudo berpendapat cerita-cerita pemandu teksi ini agak kukuh kerana setiap pemandu mesti mula tekan meter tambang setiap kali penumpang masuk ke dalam kereta.

Namun ‘penumpang misteri’ yang naik secara percuma sebelum hilangkan diri itu menyebabkan pemandu-pemandu teksi itu yang kena cover kos tambang.

Kata Kudo lagi, mereka sedikit pun tidak rasa takut dengan insiden aneh itu.

“Tak pelik pun nampak hantu di sini.” kata salah seorang drebar teksi itu kepada Kudo.

“Kalau jumpa lagi hantu, saya akan terima je ia sebagai penumpang.”

Beberapa tahun sejak bencana itu, kadang penduduk melaporkan mereka nampak beberapa orang beratur panjang di depan kedai yang musnah dan tidak berpenghuni.

Selepas tesis Yuka Kudo meraih perhatian media, beberapa orang mencadangkan penampakan hantu itu mungkin impak daripada ‘halusinasi berkabung’.

Keizo Hara, pakar psikiatri berpendapat ‘penumpang hantu’ itu mungkin simptom post-traumatic stress disorder (PTSD).

“Tempat di mana orang ramai kata nampak hantu itu biasanya kawasan yang disapu tsunami.” kata Keizo.

“Kami berpendapat penampakan hantu ini merupakan imej yang terhasil daripada mental kerana ketakutan dan kebimbangan berhubung dengan tempat-tempat itu.

Begitulah sebahagian cerita hantu tsunami di Jepun dalam dokumentari ‘Unsolved Mysteries’ yang boleh tonton di Netflix.