Anda sudah menonton filem thriller misteri Korea adaptasi webtoon “Revelations” yang dikeluarkan pada 21 Mac 2025 ini?
Revelations ialah filem adaptasi daripada webtoon bertajuk Gyeshirok oleh Yeon Sang Ho. Diarahkan oleh Yeon Sang Ho, yang terkenal dengan karya-karya seperti Train to Busan, Peninsula, Hellbound, The King of Pigs, dan Parasyte: The Grey. Filem ini mempersembahkan thriller psikologi dan misteri yang mendalam penuh ketegangan.
Revelations menceritakan kisah Pastor Sung Min Chan (Ryu Jun Yeol) yang hidupnya tiba-tiba menjadi huru-hara dalam satu hari selepas dia bertemu dengan bekas banduan serangan seksual bernama Kwon Yang Rae yang datang ke gerejanya.
Dalam proses itu, seorang Detektif bernama Yeon Hee (Shin Hyun Bin) sedang menyiasat kes kehilangan remaja perempuan yang menghilang secara misteri. Detektif ini juga harus berhadapan dengan trauma masa lalunya apabila adik perempuannya telah diculik dan diseksa oleh Yang Rae beberapa tahun lalu. Walaupun adiknya akhirnya melarikan diri, trauma itu membawa kepada kematiannya dengan membunuh diri.
Secara beransur-ansur, semasa dia mengendalikan kes kehilangan anak remaja tersebut, dia mula curiga bukan sahaja kepada bekas banduan itu, tetapi juga kepada Pastor Sung yang sering menunjukkan tingkah laku pelik. Dengan nalurinya sebagai seorang detektif, Yeon Hee mula membongkar misteri dan tragedi di sebalik kejadian itu.
Tak nak spoiler lebih, cuma admin ingin kongsikan, apa yang menariknya tentang Revelations adalah ia menyentuh isu yang berkaitan dengan keadaan dunia sebenar hari ini.
Bagi pastor Sung, sambaran petir yang menerangi salib di muka batu adalah Tuhan menyuruhnya menghukum Yang Rae, bekas banduan itu. Bagi Yang Rae pula, melihat tingkap berbentuk seperti Dajjal bermata satu yang menghantuinya di rumah tempat dia didera semasa kecil meyakinkannya dia mesti menculik lagi. Manakala detektif Yeon Hui, penglihatan adiknya yang sudah mati mendorongnya untuk menangkap Yang Rae sebelum dia boleh menyakiti seseorang lagi.
Plotnya agak rumit dan memerlukan tumpuan penuh ketika menontonnya, tetapi ia mempunyai jalan cerita yang menarik untuk diikuti sehingga akhirnya. Revelations juga berjaya menggabungkan unsur ketegangan dengan genre thriller psikologi dan misteri dalam satu karya visual yang tidak harus diremehkan bagi peminat filem Korea genre ini.
Jika anda sukakan cerita bertemakan misteri yang rumit tetapi menyeronokkan, maka filem ini boleh dijadikan pilihan tontonan hujung minggu anda!
Citarasa kita mungkin berbeza tapi admin suka nak beri 8/10 sebagai rating peribadi. Anda yang telah menonton, berapa rating anda untuk filem ini?