Pelakon Lee Jung Jae bercerita tentang kesusahan hidupnya pada masa lampau dalam program TV ‘Yoo Quiz On The Block’.
Cerita Jung Jae, kepuasannya dalam berlakon adalah memilih watak atau genre yang tidak pernah dicubanya sebelum ini. Hal ini turut mempengaruhi keputusannya untuk memegang watak Sung Ki Hoon dalam siri hit Netflix ‘Squid Game’.
Mengenangkan watak Sung Ki Hoon, Jung Jae mendedahkan bahawa dia sebenarnya berasal daripada keluarga susah.
“Bila buat carian ‘Lee Jung Jae’ di internet, mesti akan jumpa kata kunci ‘mewah, berjenama, dan bergaya’ mengelilingi nama itu. Sebenarnya semasa zaman muda dulu, saya pernah tinggal di dalam sebuah rumah hampir sama saiz atau lebih kecil daripada Sung Ki Hoon.”
“Sekurang-kurangnya rumah Ki Hoon dalam Squid Game itu ada dua bilik, tetapi rumah saya dulu hanya mempunyai ruang tamu tanpa bilik. Masih segar di ingatan saya, kami sekeluarga makan nasi dengan lauk ala kadar.”
“Sewaktu mula-mula pergi ke tapak penggambaran di Ssangmun-dong, saya banyak mengenang masa lalu dan teringatkan ibu yang pernah susah. Jadi bila ada masa, sama ada pagi atau malam, saya berjalan di laluan tepi pasar. Dengan buat begitu, jiwa Sung Ki Hoon bersatu dengan saya.”
Sumber: AllKpop