Rumah bernilai puluhan juta ringgit milik pelakon Yoo Ah In yang terletak di Itaewon telah terjual. Menariknya, pembeli rumah itu adalah seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Menurut laporan media tempatan, pemindahan hak milik telah difailkan di mahkamah pada 19 Disember lalu, manakala kontrak jual beli ditandatangani sehari selepas itu.
Kediaman yang dibina di atas tanah seluas 337 meter persegi itu dibeli oleh Yoo Ah In pada tahun 2016 atas nama syarikat swasta U Company Limited dengan harga KRW 5.8 bilion (RM 63.8 juta).
Dia menjual rumah tersebut pada awal bulan ini dengan harga KRW 6.3 bilion (RM 69.3 juta), lima ratus juta lebih mahal. Dokumen menunjukkan bahawa rumah itu dibeli secara tunai oleh seorang kanak-kanak yang lahir pada Julai 2017 dengan nama keluarga Park.
Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak tersebut dipercayai usahawan yang berjaya. Ayahnya ialah Park Hwa Mok, Ketua Pegawai Eksekutif Piece Peace Studio, manakala ibunya ialah seorang pereka bernama Lee Suhyun.
Syarikat yang diuruskan oleh Park Hwa Mok ialah operator bagi jenama pakaian terkenal Mardi Mercredi. Pelakon Kim Go Eun dan Ahn Yujin IVE telah dilantik sebagai duta jenama tersebut.
Pada tahun lepas, syarikat itu mencatatkan hasil jualan sebanyak KRW 68.8 bilion (RM 756 juta) dengan keuntungan operasi KRW 25.7 bilion (RM 282 juta).
Yoo Ah In pernah memaparkan rumahnya dalam rancangan ‘I Live Alone’ yang disiarkan pada tahun 2020. Rumah tiga tingkat itu mempunyai rekaan seni bina moden dengan interior yang didominasi warna putih serta sebuah taman di bahagian belakang yang membolehkan pemiliknya berkebun.
Dia mengambil keputusan untuk menjual rumah itu selepas proses undang-undang menetapkan dia sebagai suspek kes penyalahgunaan dadah pada Oktober lalu. Yoo Ah In didakwa menggunakan propofol (ubat pelali) secara haram sebanyak 181 kali antara September 2020 hingga Mac 2022.
Selain itu, dia juga didakwa membeli 1,100 pil tidur pada Mei 2021 serta merokok ganja ketika berada di Amerika Syarikat pada Januari tahun lalu.
Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun pada perbicaraan pertama, tetapi hukumannya dinaikkan kepada empat tahun penjara pada perbicaraan terakhir yang diadakan akhir bulan lalu.
Tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah, Yoo Ah In telah mengemukakan rayuan, dan perbicaraan rayuannya dijadualkan berlangsung pada 18 Februari 2025.