Sam Hammington dan anak-anaknya, William dan Bentley telah mencuri hati penonton menerusi diari kehidupan mereka dalam rancangan TV KBS, ‘The Return of Superman’.
Sam adalah pelawak dan personaliti dari Australia yang kini menetap di Korea Selatan. Baru-baru ini, dia membuka cerita pertama kali bertemu dengan isterinya yang merupakan orang Korea.
Dalam satu rancangan hiburan bertajuk ‘National Receipt’, topik yang menjadi bahan bual bicara tiga orang pengacara program tersebut adalah resit tertera 95,000 won (sekitar RM 334) yang dibelanjakan oleh Sam untuk keluar makan berdua dengan isterinya sahaja.
“Saya banyak habiskan masa dengan anak-anak sebab saya yang jaga mereka. Kami jarang ada masa berdua jadi kami keluar makan sama-sama.” jelas Sam.
Siapa sangka, resit itu juga tersimpan cerita dan menggamit kenangan semasa pertama kali bertemu dengan isterinya.
“Kami jumpa semasa tengah minum di Itaewon. Di meja sebelah saya, dia tanya dalam bahasa Inggeris ‘Where are you from?’”
“Saya pun balaslah dalam bahasa Korea, ‘맞혀봐’ (cuba teka).”
“Teka punya teka dan sama-sama jenis ‘masuk air’, itulah hari pertama kami bersama.” ujar Sam.
Begitulah kisah cinta ringkas Sam dengan wanita yang kini menjadi ibu kepada anak-anaknya, William dan Bentley.
Sumber: [1]