Home Lifestyle Sejarah Gelap Pulau Hashima (Battleship Island)

Sejarah Gelap Pulau Hashima (Battleship Island)

0

Pulau Hashima, turut dikenali sebagai Gunkanjima atau “Pulau Battleship” kerana menyerupai kapal perang Jepun.

Suatu ketika dahulu, pulau ini pernah menjadi tempat paling padat penduduknya di planet ini.

1 3
Sumber gambar: Jordy Meow/Pixabay

Namun kini, ia menjadi kota tinggal atau ‘pekan hantu’ dan cerminan dunia apocalypse dengan bangunan-bangunan konkrit yang hampir rebah ke laut.

Jom soroti sejarah menarik di sebalik pulau ini.

Lombong Arang Batu Bawah Laut

Dari pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20, Jepun mengalami zaman perindustrian yang pesat bagi mengukuhkan pertahanan mereka.

Mitsubishi Group pernah terjun ke dalam pelbagai industri sebelum menempa nama dalam automotif seperti yang kita kenal pada hari ini.

Syarikat inilah yang mula membeli lombong arang batu pada akhir abad ke-19 untuk membekalkan bahan bakar kepada armada kapal yang sedang berkembang di negara matahari terbit itu.

Salah satu lombong ini terletak di bawah Pulau Hashima, terletak kira-kira lebih dari 10 batu dari pesisir pantai Nagasaki.

1 4
Sumber gambar: Sayama/Pixabay

Aset Penting Negara

Menjelang tahun 1950, lombong itu menghasilkan sekitar 14,000 tan arang batu sebulan, menjadikannya sebagai aset yang sangat bernilai bagi Jepun.

Mitsubishi telah membina pangsapuri, sekolah, hospital, teater, rumah mandian dan kemudahan lain untuk pelombong dan keluarga mereka yang tinggal di situ.

Pihak mereka memilih konkrit yang kuat bagi membina bangunan-bangunan itu bagi melindungi tempat itu daripada kerosakan akibat taufan.

Zaman kemuncaknya adalah pada tahun 1959, bila mana pulau seluas 16 hektar itu menampung lebih daripada 5,000 orang, menjadikannya sebagai tempat paling padat penduduk di dunia pada masa itu.

a
Sumber gambar: @battleshipisland/Facebook

Meskipun padat dengan manusia, pulau arang batu itu kekurangan tumbuh-tumbuhan sehingga digelar “Midori nashi Shima,” maksudnya “Pulau tanpa hijau.”

Memandangkan hampir tiada sumber kehijauan alam terutamanya bunga-bungaan, penduduk di situ membezakan perubahan musim dengan mendengar deruan angin atau melihat warna laut dan langit.

Kehidupan Sukar

Rata-rata penduduk dan pelombong di Pulau Hasima ini terdiri daripada buruh paksa dan tawanan perang dari Korea dan China.

Tenaga mereka diperah, dieksploitasi dan dipaksa bekerja (tanpa bayaran) dalam keadaan teruk.

b
Sumber gambar: @battleshipisland/Facebook

Dianggarkan ribuan pekerja mati di pulau itu sebab keadaan kerja yang tidak selamat, kekurangan zat makanan, keletihan dan ada yang cuba berenang balik ke tanah besar kerana tidak tahan terpenjara di pulau itu.

Pernah ada bekas penduduk di pulau itu menceritakan, setiap kali balik kerja, mesti dia rebah akibat kepenatan dan air mandian di tempat mandi selalunya bertukar hitam setelah para pelombong membersihkan diri.

Terbiar Lama

Seiring bergeraknya waktu, arang batu di bawah pulau itu akhirnya habis dan industri mahu meneroka petroleum pula. Menjelang tahun 1975, pulau itu benar-benar sepi dan terbiar selama hampir tiga dekad.

Sejak penghuni terakhirnya melangkah pergi, alam semula jadi mengambil alih pulau itu. Tumbuh-tumbuhan merebut ruang di antara bangunan yang runtuh dan sedikit demi sedikit gelombang ombak menghakis pantainya.

1 1
Sumber gambar: Jordy Meow/Pixabay

Pada tahun 2009, Jepun mencadangkan agar lokasi-lokasi bersejarah tertentu, termasuk Pulau Hashima, diakui sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kerana peranan mereka dalam revolusi industri negara itu.

Namun Korea Selatan menentang pengiktirafan itu kerana mereka mengatakan bahawa Jepun gagal mengakui hakikat tentang 57,900 buruh Korea yang bekerja secara paksa di tempat itu.

Akhirnya Pulau Hashima diakui sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2015 apabila Korea Selatan boleh berkompromi setelah Jepun mengiktiraf warga Korea yang pernah bekerja di situ.

Begitulah kisah bagaimana suatu ketika dahulu Battleship Island pernah ‘hidup’ dan berdiri atas keringat, darah dan air mata para pelombong arang batu dan keluarga mereka.

Lawatan Di Alam Siber

Runtuhan bangunan di Pulau Hashima dan suasananya yang menyeramkan itu telah menjadi latar tempat untuk dokumentari, filem dan siri TV yang seterusnya menyumbang kepada populariti di kalangan pengunjung.

Tempat ini juga boleh ‘dikunjungi’ dari rumah dengan menggunakan kuasa internet menerusi Google Street View, drone dalam ultra HD dan lawatan 3D di bawah!

Sumber: Business Insider, All That’s Interesting, Atlas Obscura, Sora News

Jom follow rapat FB page DaebaKing dan akaun IG Daebakingz untuk tahu lagi cerita-cerita menarik dan teropong dunia!