22 Julai 1997
Itulah tarikh manga One Piece lahir di tangan seorang pemuda berusia 22 tahun bernama Eiichiro Oda melalui majalah Weekly Shonen Jump.
Tahun-tahun berlalu, One Piece tidak hanya menjadi salah satu manga paling popular di Jepun, tetapi juga terlaris sepanjang zaman.
Oda memang menempa nama dengan One Piece, namun manga tersebut sebenarnya bukan karya sulungnya.
Karya Pertama
Dalam buku One Piece: Blue, Oda bercerita bahawa dia sudah pasang cita-cita untuk jadi artis manga seawal usia empat tahun lagi.
Oda melakar mimpi-mimpi itu ke dalam realiti dengan buat manga bertajuk Wanted! semasa usianya 17 tahun dan hantar masuk pertandingan.
Beberapa kemenangan yang diraihnya membuka jalan Oda untuk bekerja di majalah Weekly Shonen Jump, di mana pada awalnya dia bekerja sebagai pembantu pelukis untuk komik siri ‘Suizan Police Gang’ karya Shinobu Kaitani.
Monkey D.Luffy Lahir
Pada akhir tahun 1996, Oda mula menulis dan menggambar dua cerita bertema lanun laut berjudul Romance Dawn. Karya itu diterbitkan dalam Akamaru Jump dan Weekly Shonen Jump.
Memetik tulisan artikel CNN Indonesia, dalam Romance Dawn inilah Oda menampilkan Monkey D.Luffy sebagai watak protagonis yang kemudiannya menjadi watak utama dalam One Piece.
Setahun kemudian, One Piece mula berlayar. Tak sampai 10 tahun, naskhah siri One Piece terjual hingga 100 juta volume pada tahun 2005. Paling manis, angka tersebut bertambah dua kali ganda enam tahun kemudian.
Pada tahun 2019, Crunchy Roll melaporkan rekod penjualan One Piece mencapai 450 juta salinan di seluruh dunia.
Siri Dragon Ball karya Akira Toriyama membawa pengaruh besar baginya dalam mencipta manga. Sementara itu, kecintaannya terhadap dunia lanun pula tumbuh hasil menonton siri animasi popular bertajuk ‘Vicky the Viking’.
Cinta Sejati Berlabuh pada ‘Nami’
Dalam kehidupan peribadinya, Oda juga tak dapat lari dari One Piece. Ia bertemu jodoh dengan pilihan hatinya, Chiaki Inaba. Mereka jumpa di panggung pertunjukan Jump Festa One Piece 2002.
Saat itu, Oda jatuh hati pada Inaba yang sedang ber-cosplay dengan kostum Nami, salah satu watak dalam One Piece. Dari mata turun ke hati, mereka mula bercinta dan kemudian berkahwin pada 2004.
Ramai peminat berpendapat bahawa Inaba dikatakan memang begitu mirip dengan Nami seperti gambaran Oda, terutama ketika karakter itu masih berambut pendek.
Inaba terus menemani Oda sepanjang karier artis manga itu, dalam suka dan duka, termasuk ketika si suami tersenarai dalam Top 5 Artis Manga Paling Digemari di Jepun berdasarkan tinjauan yang dibuat Oricon pada tahun 2008.
Dua tahun kemudian, Oda diiktiraf oleh Oricon sebagai “Artis Manga yang Mengubah Sejarah Manga.”