Walau banyak stesen TV tumbuh bagai cendawan selepas hujan di Korea Selatan, SBS masih merupakan salah satu saluran yang sangat berpengaruh dan hebat memberi saingan. Sejak didirikan pada tahun 1991, saluran televisyen awam ini berjaya menguasai pasaran siaran.
Selain itu, beberapa buah drama Korea popular berjaya ditayangkan di saluran ini. Di antaranya adalah My Girl Friend is a Gumiho, Secret Garden, While You were Sleeping, Business Proposal dan banyak lagi.
Tapi ada kalanya, SBS juga kehilangan momentum dari drama Korea popular yang
ditawarkan ke stesen televisyen awam ini. Ada beberapa sebab mengapa skrip
drama-drama tersebut ditolak, tapi nampaknya pasukan produksi perlu lebih teliti lagi dalam melihat selera pasaran.
Contohnya seperti lima drama Korea ini yang pernah ditolak oleh pihak SBS, tapi meraih kejayaan besar apabila ditayangkan di saluran lain.
1. Signal (2016)
Sejak tahun 2011-2014, Kim Eun Hee sudah dipilih untuk menulis drama yang
ditayangkan di SBS. Sekurang-kurangnya ada tiga skrip dramanya yang berjaya ditayangkan. Tapi, semasa Kim Eun Hee menawarkan skrip drama Signal, SBS menolaknya.
Alasannya adalah kerana drama jenayah dianggap rumit dan plot yang cepat kurang diminati ramai. Selain itu, temanya yang suram akan kurang mendapatkan sponsor. Tapi, jangkaan SBS ternyata meleset.
Drama Korea Signal meletop apabila tawaran ini akhirnya diambil oleh tvN. Kes jenayah yang muncul dalam drama ini ditulis berdasarkan kisah benar pembunuhan bersiri di Korea Selatan sekitar tahun 1986-1991. Masyarakat ketika itu menyebutnya sebagai Hwasong Serial Murder Case. Sekurang-kurangnya 10 orang wanita ditemui mati dibunuh dan diperkosa.
Drama yang dibintangi oleh Lee Je Hoon, Kim Hye Soo, dan Choi Jin Woong ini berjaya mencatat rating sebanyak 12.5 peratus. Bukan hanya itu, Signal juga memenangi beberapa kategori anugerah di Baeksang Arts Awards 2016, APAN Star Awards 2016, dan tvN10 Awards.
2. Descendants of the Sun (2016)
SBS menolak tuah pada tahun 2016. Selepas menolak drama Signal yang berjaya di tangan tvN, mereka juga menolak drama Descendant of the Sun (DOTS). SBS memberi alasan bahawa drama bertema peperangan yang ditulis oleh Kim Eun Sook dan Kim Won Suk tersebut tidak cukup baik serta juga dianggap tidak menjamin kejayaan.
Selain itu, SBS juga tidak memiliki cukup dana untuk membiayai produksi siri tersebut yang sebahagiannya dilakukan di luar negara. Sekali lagi jangkaan SBS meleset. Selepas ditolak, KBS2 berani mengambil risiko menerima drama ini dan seperti kita ketahui drama ini meletop di Asia.
Bahkan siri yang dibintangi oleh Song Joong Ki dan Song Hye Kyo tersebut
memperolehi rating hingga 40 peratus menurut TNS Media Korea dan AGB Nielsen.
Pelbagai anugerah dalam pelbagai kategori berjaya diraih, seperti di KBS Drama Awards 2016, Korea Drama Awards 2016, APAN Star Awards, dan juga Baeksang Arts Awards.
3. Woman of Dignity (2017)
Skrip drama karya Baek Mi Kyeong ini juga pernah ditolak semasa ditawarkan
kepada SBS. Menurut pihak SBS, drama Korea ini mengandungi adegan yang “berisiko” dan kurang sesuai ditayangkan di saluran awam. Akhirnya, JTBC mengambil alih drama ini, JTBC ialah stesen TV kabel berbayar yang memang kurang sensor.
Woman of Dignity mengisahkan tentang perbezaan antara wanita kelas atasan dan kelas bawahan. Kisah Kim Sun Ah sebagai wanita kelas bawahan berusaha menjadi seorang kelas atasan seperti Kim Hee Seon dilakukannya melalui pengkhianatan
yang berakhir dengan kehancuran.
Drama Korea yang diarahkan oleh Kim Yun Cheol tersebut berjaya meraih rating sebanyak 10 peratus menurut Gooddata Corporation. Woman of Dignity juga merupakan salah satu top 20 drama terbaik JTBC.
Bukan hanya itu, drama ini juga meraih anugerah pelbagai kategori di Korea Drama Awards 2017, The Seoul Awards 2017, dan Baeksang Arts Awards 2018.
4. Mr. Sunshine (2018)
Melihat kejayaan Descendant of the Sun, tetap tidak mengubah pendirian pihak SBS. Kim Eun Sook masih berusaha agar skripnya diterima oleh SBS. Kali ini drama Mr. Sunshine yang ditawarkan. Tapi, sayangnya mereka kembali menolak Mr. Sunshine kerana peruntukan kewangan yang diperlukan terlalu besar.
Saluran tvN akhirnya menerima skrip Kim Eun Sook tersebut dan berjaya mendapat iklan-iklan besar, serta menjadi produk siaran berkualiti tinggi.
Drama 24 episod yang berlatarkan era Joseon ini berjaya meraih rating sebanyak 21.8 peratus menurut AGB Nielsen.
Drama Korea ini mengisahkan tentang seorang anak hamba yang bernama Eugene Choi (Lee Byung Hun) yang kembali dari Amerika dan menjadi tentera di Korea Selatan. Lelaki tersebut bertemu dan jatuh cinta dengan anak kepada seorang aristokrat yang bernama Go Ae Shin (Kim Tae Ri) yang merupakan pasukan rahsia dalam pertarungan melawan Jepun.
Pada tahun 2019, drama ini berjaya meraih anugerah Best Actor untuk Lee Byung Hun di Baeksang Arts Awards.
5. Extraordinary Attorney Woo (2022)
Siapa sangka, drama yang meletup-letup pada tahun 2022 ini pernah ditolak oleh SBS. Extraordinary Attorney Woo mulanya ditawarkan kepada pihak SBS. Berbeza dengan drama-drama sebelum ini, penolakan drama ini tidak begitu jelas alasan dan sebab musababnya.
Netizen berspekulasi, kemungkinan penolakan itu disebabkan oleh SBS telah memiliki banyak program yang melibatkan peguam seperti Again My Life dan Why Her?.
Akhirnya saluran televisyen yang baru didirikan iaitu ENA mendapatkan drama
yang ditulis oleh Moon Ji Won itu. Apapun alasannya, SBS pasti merasa sedikit terkilan melihat kejayaan luar biasa yang tidak terjangka dari drama ini.
Berdasarkan data dari AGB Nielsen, Extraordinary Attorney Woo hingga akhir episod berjaya meraih rating sebanyak 19.2 peratus.
Nama Park Eun Bin sebagai pelakon utama semakin bersinar, disusuli dengan pelakon-pelakon lain yang turut sama menerima tempias positif dan berpotensi menjadi bintang baru.
Salah seorang dari mereka adalah Kang Tae Oh. Populariti dan kejayaan sesebuah drama Korea memang tidak diketahui bilakah dan bagaimanakah akan tercapai.
Walau pihak SBS pernah menjangkakan drama-drama Korea tersebut tidak laku di pasaran, tapi para peminat di sebalik drama-drama tersebut mampu menyangkal jangkaan SBS tersebut. Terbukti, drama-drama di atas laku keras di pasaran dan ada yang berjaya dibuat hingga musim kedua. Hebat bukan?