Steven Tyler penyanyi lagenda yang merupakan vokalis kumpulan rock ternama Aerosmith berdepan detik sukar dalam hidupnya apabila dia dituduh melakukan kesalahan seksual bersama seorang gadis remaja bawah umur yang berusia 16 tahun pada tahun 70-an.
Dakwaan dan laporan dibuat oleh seorang wanita yang bernama Julia Misley. Julia Misley memohon supaya mahkamah membenarkan perbicaraan didengar oleh pihak juri dan turut menuntut sejumlah wang pampasan daripada penyanyi lagenda tersebut.
Pakar undang-undang berkata bahawa kes yang dihadapi oleh Steven Tyler ini adalah luar biasa dan agak pelik. Perkara yang menjadikan kes ini lebih aneh adalah apabila Steven Tyler hanya mendiamkan diri dan seolah-olah mahu bertarung di mahkamah kerana pihaknya langsung tidak menawarkan sebarang tawaran penyelesaian kes di luar mahkamah.
Satu fakta menarik yang diutarakan oleh pakar undang-undang adalah, pihak peguam Julia Misley mungkin boleh menggunakan tulisan dan kenyataan dalam buku memoir Steven Tyler sebagai bukti untuk mengukuhkan lagi pendakwaan mereka.
Rupa-rupanya Julia Misley sudah lama memperjuangkan kes ini. Wanita itu selama ini sangat vokal bercerita tentang pengalamannya yang menjadi mangsa seks vokalis Aerosmith itu sewaktu dia masih di bawah umur.
Julia Misley dalam tuntutan samannya telah mendakwa bahawa dia berusia 16 tahun sewaktu dia berjumpa dengan Steven Tyler di salah sebuah konsert Aerosmith. Julia Misley turut mendakwa pada waktu itu Steven Tyler telah melakukan pelbagai kesalahan jenayah seksual ke atasnya yang dianggap sebagai kanak-kanak pada waktu itu kerana baru berusia 16 tahun.
Julia Misley juga menyatakan bahawa Steven Tyler diberi hak sebagai penjaga sementaranya pada masa itu kerana penyanyi itu telah pergi menemui ibu bapanya untuk meminta persetujuan dan tandatangan memberi hak untuk Steven Tyler menjaga Julia Misley kerana penyanyi tersebut ingin membawa Julia Misley mengikuti dia dan Aerosmith mengelilingi dunia dalam jelajah konsert mereka.
Sewaktu Julia Misley tinggal bersama Steven Tyler dan mengikuti kumpulan Rock Aerosmith dalam setiap jelajah, dia mendakwa dirinya telah diperlakukan sebagai hamba seks oleh Steven Tyler dan perkara itu masih menghantuinya sehingga ke hari ini.
Kebetulan pula tuduhan Julia Misley seolah-olah benar apabila dalam buku memoir Steven Tyler, penyanyi itu ada menghuraikan tentang Julia Misley sebagai seorang gadis yang baru berusia 16 tahun dan masih terlalu muda untuk memandu kereta.
Selain itu Steven Tyler turut menulis di dalam memoirnya dan menyatakan bahawa gadis 16 tahun itu terlalu seksi! Dalam buku memoir tersebut, turut dinyatakan bahawa gadis 16 tahun itu adalah teman sejati yang memahami segala minatnya dia juga menghuraikan hampir sahaja dirinya mengahwini seorang ‘pengantin remaja’.
Di dalam buku memoir Steven Tyler, dengan jelas telah menyebut nama Julia Misley sebagai subjek dan rujukan. Pertemuan dengan ibu bapa Julia Misley untuk meminta kebenaran dan tandatangan turut diceritakan dalam memoir berkenaan.
Steven Tyler dan pasukan peguamnya masih mengambil pendekatan berdiam diri dan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dakwaan berat tersebut. Wakil kepada penyanyi tersohor itu juga masih mengunci mulut dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan atau memberi sebarang komen.