Awal tahun 2025 menyaksikan kemunculan pelbagai drama baru yang dinantikan ramai. Bagi peminat setia drama China, bulan Februari menjadi lebih menarik dengan kehadiran The White Olive Tree.
Dibintangi oleh barisan pelakon terkenal dan membawa kisah yang penuh emosi, drama ini berjaya mencuri perhatian sejak pengumuman tayangannya dan mendapat sambutan hangat selepas ditayangkan.
Bagi anda yang ingin menonton drama ini, jom kita lihat dulu tiga perkara menarik tentang The White Olive Tree!
1. Gandingan Semula Chen Zhe Yuan & Liang Jie
The White Olive Tree merupakan drama pertama Chen Zhe Yuan pada tahun 2025, di mana dia bergandingan dengan Liang Jie. Dalam drama ini, Chen Zhe Yuan membawakan watak Li Zan, seorang jurutera bahan letupan yang menjadi sukarelawan di kawasan konflik.
Sementara itu, Liang Jie memegang watak Song Ran, seorang wartawan yang menjalankan misi wawancara di kawasan bergolak. Setelah kejayaannya dalam drama Men in Love (2024), kehadiran semula Liang Jie dalam drama ini pasti dinantikan peminat. Kedua-duanya terkenal dengan lakonan hebat, menjadikan drama ini memang dinanti-nantikan!
2. Cinta yang Diuji di Tengah Bahaya
The White Olive Tree membawa kisah percintaan yang berkembang dalam situasi tegang. Song Ran dihantar ke East Country, sebuah wilayah yang bergolak, untuk menjalankan tugas sebagai wartawan. Ketika berdepan dengan bahaya, dia diselamatkan oleh Li Zan, seorang sukarelawan yang berjiwa besar. Perlahan-lahan, kelembutan dan keberanian Li Zan menawan hati Song Ran.
Namun, takdir tidak memihak kepada mereka. Sebuah serangan bom secara tiba-tiba memisahkan pasangan ini. Setelah kembali ke tanah air masing-masing, mereka terpaksa menghadapi penderitaan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga emosi. Mampukah mereka menemukan jalan kembali kepada satu sama lain?
3. Tarikh Tayangan & Jumlah Episod
The White Olive Tree mula ditayangkan pada 1 Februari 2025, menjadikannya antara drama Cina pembuka tirai tahun ini. Drama ini bersiaran dengan jumlah 38 episod, menawarkan jalan cerita yang menarik untuk diikuti sehingga pertengahan bulan.
Diarahkan oleh Huang Chun, pengarah yang pernah menghasilkan drama popular seperti Love Better Than Immortality, My Eternal Star, dan Moon Love, drama ini dijangka menyajikan kisah yang penuh emosi, aksi, dan ketegangan.
Dengan gabungan lakonan mantap, kisah penuh emosi, dan latar yang dramatik, The White Olive Tree menawarkan pengalaman tontonan yang mendebarkan. Sama ada anda peminat kisah cinta yang menyayat hati atau drama yang menyentuh realiti peperangan dan pengorbanan, drama ini pastinya tidak boleh dilepaskan. Jadi, sudah bersedia untuk menyaksikan perjalanan cinta Li Zan dan Song Ran?