Graduasi boleh diibaratkan tutup buku lama, buka buku baru bagi memulakan bab seterusnya dalam cerita kehidupan.
Apabila meraikan momen ini, mungkin ada pelbagai perasaan yang bercampur baur dalam diri seperti gembira, terharu meraikan pencapaian dalam hidup dan tidak terkecuali sayu serta sedikit cuak bagaimana untuk menghadapi fasa seterusnya apabila disapa ‘Welcome to the real world.‘
Artikel ini ditaip ketika musim konvokesyen di beberapa buah universiti di Malaysia dan baru berkesempatan untuk menerbitkannya. Diharap masih belum terlambat bagi mengucapkan tahniah kepada para graduan!
Jom kita lihat bagaimana tradisi graduasi sekolah atau universiti di Korea pula.
Baling Tepung Dan Mengoyak Baju
Menurut portal Creatrip, para pelajar membawa tepung dan baling pada kawan-kawan selepas acara rasmi graduasi tamat. Sesetengahnya membawa mayones atau telur supaya tepung itu melekat.
Satu lagi kejadian biasa yang dilihat adalah para graduan berjalan-jalan dengan uniform koyak kerana mereka saling mengoyak uniform antara satu sama lain. Tradisi ini sebagai ekspresi emosi yang terpendam lama apabila menjadi pelajar. Hal ini juga simbolik ‘Aku dah dewasa, suka hati aku nak buat apa’.
Bagaimanapun tradisi ini dihentikan oleh pihak polis dan Kementerian Pendidikan di Korea kerana ada yang bergurau secara ekstrem.
Makan Jjajangmyeon
Selalunya selepas majlis rasmi dan bergambar bersama keluarga dan rakan-rakan, apa awak buat? Mestilah pergi makan-makan!
Di Korea, jjajangmyeon atau mi sos kacang hitam merupakan hidangan yang mesti ada untuk meraikan hari graduasi. Kini ia dianggap makanan murah di Korea, dulu sajian ini dianggap mahal dan hanya dihidangkan semasa hari istimewa sahaja.
Pakai Cosplay
Dulu kebiasaannya para pelajar memakai uniform dan posing dengan gaya yang lebih formal.
Namun gaya tersebut diubah oleh beberapa pelajar dari Sekolah Menengah Tinggi Uijeongbu di Seoul yang menjadi trendsetter kepada pemakaian cosplay.
Setiap tahun, pelajar-pelajar ini akan menggayakan pelbagai watak, dari selebriti, anime malah ahli politik semasa ambil gambar graduasi.
Bawa Sepanduk
Sepanduk atau kain rentang boleh dilihat sana sini semasa graduasi kolej di Korea.
Memandangkan berjaya ke puncak menara gading merupakan pencapaian yang besar, usaha bagi meraikannya juga perlu besar-besar.
Tiba hari konvokesyen, rakan-rakan akan buat kain rentang kepada sesiapa yang grad. Tulisan yang tertera selalunya bukanlah standard ucapan “tahniah” sebaliknya sentuhan peribadi seperti gambar-gambar, quotes dan lawak atau ayat parodi daripada drama popular.
Manusia Jambangan Bunga
Di Korea, karangan bunga sering dihantar sebagai ucapan tahniah untuk acara penting dan istimewa seperti perkahwinan dan pembukaan kedai.
Jambangan bunga seperti ini agak besar dan sukar diangkut ke majlis graduasi. Sebagai alternatif, mereka guna manusia.
Orang ini akan pakai selempang atau reben yang bercetak frasa tahniah, maka jadilah trend ‘Manusia Jambangan Bunga’ yang popular kerana lebih bersifat peribadi dan nostalgik.