Korea Selatan- sebuah negara maju pengeluar produk teknologi dan budaya pop yang dieksport ke seluruh dunia. Pembangunan ekonomi yang pesat di negara itu dikatakan mampu menyaingi dan dijangka akan memintas negara jirannya, Jepun suatu hari nanti.
Di sebalik kerancakan ekonomi, terselit sisi toksik kehidupan rakyatnya. Rupanya ramai penduduk Korea Selatan yang berasa tidak puas hati dengan hidupnya sehingga pernah dinobatkan sebagai ‘Negara Paling Tidak Gembira’ di Asia.
Ramai warga Korea berusaha keras sama ada dalam pelajaran atau kerjaya untuk bersaing dan tidak ketinggalan dalam mengejar kemajuan.
Tekanan sosial untuk ‘berjaya dalam hidup’ dan persekitaran yang kompetitif menyebabkan ramai penduduknya mengalami kemurungan sebelum bertindak mengambil nyawa sendiri.
Mencari alternatif
Kerajaan negara tersebut berikhtiar bagi memastikan rakyat lebih menghargai kehidupan mereka. Salah satunya adalah perkhidmatan terapi berbentuk ‘pengebumian palsu’.
Yuka Uchida, seorang koresponden VICE di Jepun telah terbang ke Seoul, Korea Selatan bagi merasai sendiri detik ‘kematiannya’ dalam sebuah upacara pengebumian palsu.
Wanita itu pergi Gangnam, sebuah kawasan elit untuk bertemu dengan seorang lelaki yang pernah ikuti terapi pengebumian palsu itu. Yuka mahu tahu mengapa lelaki berpendidikan, kaya dan doktor pergigian terkenal sepertinya mahu merasakan mati.
“Realitinya, saya rasa tak punya apa-apa. Saya hanyalah insan yang bergelut dengan kehidupan setiap hari. Jadi, saya nak buat sesuatu bagi memenuhi kekosongan hidup saya.” kata lelaki berkenaan.
Hari pengebumian
Para peserta termasuk Yuka diberikan syarahan dulu tentang falsafah kehidupan ini.
Kemudian, para peserta dikehendaki mengimbau masa lalu dan menulis sebuah wasiat. Air mata Yuka tidak berhenti mengalir sewaktu menulis sambil mengingat masa silam yang tidak mahu diingatinya. Namun dia tetap perlu berhadapan dengan fasa gelap tersebut pada ‘hari terakhirnya’.
Kemudian langkahnya menuju ke keranda diiringi oleh seorang lelaki yang berlakon sebagai ‘malaikat maut’.
Semasa berada di dalam keranda, badan para peserta diikat seperti mayat dan roh mereka dianggap sudah berlepas dari alam fana. Rentetan plot kehidupan mereka berputar dalam minda seperti tayangan filem.
Dipendekkan cerita, upacara itu tamat dan peserta termasuk Yuka keluar dari keranda. Mereka berasa seolah-olah dilahirkan semula dan mendapat peluang kedua untuk meneruskan hidup.
Kesimpulan
Antara perkara yang saya belajar dari dokumentari ini adalah apabila berasa lelah dengan hiruk-pikuk kehidupan ini, berhenti berehat sebentar. Jangan putus asa. Hidup ni tak lama mana.
Dalam usaha meningkatkan taraf hidup, pembangunan rohani juga perlu dititikberatkan agar isi dalaman tidak terbiar kosong.
Jika orang Korea di atas berusaha untuk mencari ketenangan hidup dengan masuk ke dalam keranda, bagi Muslim seperti saya pula adalah mencari-Nya di tikar sejadah.
Sumber: Vice