Yoo Ah In yang pernah terkenal dan menempa saat kegemilangnya pada 2018 ketika membintangi watak protagonis dalam filem “Burning”, mendapat pengiktirafan kritikal di mana dia mendapat pengiktirafan antarabangsa. Bukan sahaja dia dipaparkan dalam senarai “Pelakon Terbaik 2018” The New York Times, tetapi dia juga merupakan pelakon Asia dan Korea pertama dan satu-satunya yang dipilih untuknya.
Bakatnya telah diiktiraf secara meluas oleh pengkritik dan peminat, memenangi banyak anugerah selama bertahun-tahun untuk lakonan, gaya, fesyen dan kecemerlangannya dalam industri hiburan.
Namun kini, semua ini mula menjadi titik hitam dan terburuk untuknya apabila kerjayanya kini diambang kemusnahan akibat penggunaan dadah yang berlebihan.
Terdahulu pada 5 Februari 2023, polis menghantar sampel rambut dan air kencing Yoo ke Perkhidmatan Forensik Kebangsaan untuk ujian selepas disoal siasat dan hasil dari keputusan makmal dia didapati positif menggunakan propofol, ganja serta bahan lain yang tidak diketahui, menurut Agensi Polis Metropolitan Seoul.
Dari siasatan awal dan data yang dikemukakan oleh Kementerian Keselamatan Makanan dan Dadah negara itu, Yoo Ah In diberi propofol sebanyak 73 kali pada 2021 diantara Januari dan Disember 2021 melebihi 4.4 liter secara keseluruhan.
Ejen anestetik intravena digunakan enam kali sebulan, jauh lebih kerap daripada penggunaan ubat yang dinasihatkan untuk prosedur menurut penyiasat dan laporan Korea Selatan. Rekod itu ditambah dalam waran geledah dan rampasan berhubung Yoo yang didakwa menggunakan dadah secara haram, tambah mereka.
APAKAH ITU PROPOFOL?
Propofol adalah ubat bius yang digunakan untuk memulai dan mempertahankan anestesi selama prosedur pembedahan. Lazimnya Propofol tersedia dalam bentuk suntikkan dan pesakit hanya boleh menggunakan ia dengan pantauan oleh doktor di hospital.
Ubat ini digunakan untuk menenangkan, mengurangkan rasa kesedaran dan membius pesakit ketika berlakunya proses pembedahan. Propofol juga digunakan sebagai ubat penenang bagi pesakit ICU yang menggunakan alat bantu nafas. Propofol bertindak dengan cara menurunkan aktiviti otak dan sistem saraf, sehingga mencegah otak untuk memproses rasa sakit.
Ia nyata dan jelas bahawa penggunaan ubat untuk tujuan lain secara haram selain daripada pembedahan dan tujuan perubatan di hospital adalah menyalahi undang-undang di Korea Selatan.
Siasatan lanjut kemudian diteruskan pada 1 Mac dimana Perkhidmatan Forensik Kebangsaan kemudian menghantar sampel rambut Yoo Ah In ke unit siasatan dadah Agensi Polis Metropolitan Seoul, hasilnya ia dilaporkan positif kokain dan ketamin.
Rentetan dari kejadian ini, pelbagai sumber media hiburan mengulas bahawa kemungkinan besar Yoo Ah In tidak akan kembali ke industri perfileman. Filem yang dibintanginya dan dijadualkan penayangannya ‘The Match’ dan siri asal Netflix ‘Goodbye Earth’ serta penggambaran yang akan datang untuk sekuel drama bersiri Netflix ‘Hellbound’ musim 2 telah ditangguhkan.
Bagi yang tidak mengenali siapa gerangannya Yoo Ah In, berikut sedikit maklumat dan latarbelakangnya:
Yoo Ah In atau nama sebenarnya Uhm Hong Sik ialah seorang pelakon Korea Selatan, dilahirkan pada 6 Oktober 1986. Dia berhenti sekolah menengah untuk meneruskan kerjaya dalam bidang lakonan selepas bakatnya diintai oleh ejen hiburan ketika berada di luar sekolahnya.
Setelah itu dia memutuskan untuk berpindah ke Seoul sendiri untuk memulakan kerjaya lakonannya dan membuat penampilan TV pertamanya dalam iklan pada tahun 2003. Pada tahun yang sama, dia memulakan kerjaya dalam siri televisyen remaja “Sharp”.
Selain menjadi salah seorang pelakon terkemuka Korea Selatan, Yoo Ah In juga merupakan pengarah kreatif dan penulis yang berbakat besar.
Yoo Ah In terkenal dengan peranannya dalam drama sejarah “Sungkyunkwan Scandal” (2010) dan siri “Punch” (2011). Dia turut banyak membintangi drama popular seperti “Fashion King” (2012), “Jang Ok Jeong, Lives in Love” (2013), “Secret Love Affair” (2014), “Six Flying Dragons” (2015) dan “Chicago Typewriter” (2017).
Selain drama, pembabitan Yo Ah In dalam karier perfileman juga telah menaikkan lagi namanya apabila dia mendapat pengiktirafan antarabangsa untuk lakonannya dalam filem “Burning”. Filem-filem lain yang dibintanginya termasuklah juga #Alive (2020), Seoul Vibe (2022), Veteren (2015), Voice of Silence (2020) dan banyak lagi.