Pelakon berbakat besar, Yoo Yeon Seok sedang dilanda khabar angin yang tidak enak.
Pelakon Hospital Playlist tersebut dituduh telah bersikap kasar dan biadap terhadap seorang pengawal keselamatan sehingga petugas itu memutuskan untuk meletakkan jawatan.
Tidak hanya berdiam diri, pihak agensi terus membuat kenyataan untuk membantah tuduhan yang dianggap liar dan tidak berasas tersebut. Pihak King Kong by Starship turut menyatakan bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas berhubung tuduhan yang memalukan tersebut walaupun penyebar fitnah tersebut telah meminta maaf.
Baca Lagi: 5 Artis Korea Bermusuh Dengan Jiran Dan Disebabkan Apa?
1. Yoo Yeon Seok dituduh telah bersikap kasar terhadap pengawal keselamatan
Seorang individu yang menggunakan akaun anonymous membuat satu hantaran yang telah menjadi kontroversi dan amat kecoh di alam maya pada 21 Mac 2023. Individu tersebut mendakwa bahawa ayahnya pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan apartment kediaman Yoo Yeon Seok sekitar 6-7 tahun yang lalu.
Menurut pemilik akaun tersebut, Yoo Yeon Seok pernah melontarkan kata-kata cacian terhadap ayahnya. Ayahnya sangat sedih dan merasa terhina, akhirnya ayahnya memutuskan untuk berhenti kerja.
2. Yoo Yeon Seok secara tiba-tiba menjadi bahan gosip hangat
Khabar angin bertiup sangat kencang dan beredar begitu cepat, pelakon yang sudah memulakan debutnya sejak 2003 ini terus menjadi bualan hangat di Korea. Yoo Yeon Seok dikritik dengan teruk sekali.
“Jika apa yang dikatakan adalah benar, saya sangat kecewa dengan Yoo Yeon Seok,” tulis netizen di sudut ruangan komen laman sosial.
Walaupun begitu, ramai juga netizen yang tidak mempercayai cerita tersebut, “Walaupun saya bukan peminatnya, tapi selalunya dia kelihatan baik dan sopan dalam pelbagai variety show dan drama yang dibintangi, dia selalu baik kepada orang lain.”
3. Agensi Yoo Yeon Seok terus menyangkal tuduhan tersebut
“Hello, Ini King Kong by Starship.
Ini adalah kenyataan rasmi kami berhubung dengan sebuah hantaran alam maya yang melibatkan artis kami iaitu Yoo Yeon Seok.
Setelah memeriksa fakta dengan pelakon tersebut, kami mengesahkan bahawa hantaran tersebut sama sekali tidak berasas,” tegas pihak agensi.
4. King Kong by Starship akan mengambil tindakan undang-undang
“Kami merancang untuk mendakwa terhadap penyebar fitnah tersebut atas kesalahan mencemarkan nama baik dengan menyatakan maklumat palsu. Kami telah melantik peguam dan sedang meneliti untuk mengenakan hukuman yang kuat paling berat.”
“Kami meminta anda semua untuk menahan diri dari menyebarkan fitnah dan khabar angin tidak berasas atau hantaran yang hanya bersifat spekulatif. Terima kasih.”
5. Penyebar fitnah meminta maaf
“Saya menulis hantaran tersebut kerana sifat cemburu melihat Yoo Yeon Seok sering tampil dalam pelbagai program hiburan dan menjadi sangat popular. Saya tidak tahu perkara ini akan meledak dan menjadi sangat serius.”
”Saya ingin memohon maaf kepada Yoo Yeon Seok. Saya tidak pernah bertemu dengannya secara bersemuka, tapi saya rasa dia adalah orang yang prihatin dan mempunyai hati yang baik. Saya tidak akan memadam tulisan ini,” tulis si penyebar fitnah seperti yang dipetik dari portal Allkpop.
Berhubung hantaran permohonan maaf secara terbuka tersebut, pihak agensi memberi respon dan mereka menegaskan bahawa mereka akan tetap mengambil tindakan tegas, dan tidak akan mempertimbangkan sebarang rundingan.
Semoga kes ini menjadi pengajaran buat semua peminat dan netizen yang lain. Jangan sesuka hati mengarang cerita palsu yang boleh menjatuhkan reputasi dan imej orang lain. Kerana mulut badan binasa!
Baca Juga: 8 Aktor Ini Belum Pernah Berlakon Genre Jenayah-Thriller